Kursus Borong Dari China (China 101)

Kursus Borong Dari China (China 101)

Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP) telah menganjurkan Kursus Borong dari China (China 101) pada 14 Mei 2016, Sabtu bertempat di makmal FSK21, kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang, Kuantan, Pahang.

Program ini merupakan kursus pendek yang dijalankan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Kursus ini terbahagi kepada dua sesi, iaitu sesi pagi (9-12 tengahari) dan sesi petang (2-5 petang).  Dalam program ini, seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada pelajar UMP telah menyerti program ini.

Program ini dirancang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar khususnya di Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP), para usahawan kecil dan juga surirumah  untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dengan cara memborong barang dari China. Kursus ini akan membincangkan tentang proses memborong barangan dari China berdasarkan beberapa modul yang telah ditetapkan.

Dalam program ini, para peserta akan diajar langkah demi langkah untuk menjalankan perniagaan dengan cara mendapatkan bekalan dari China. Program ini akan meliputi mengenai cara hendak membuat pembelian barangan secara atas talian dari China, prosedur berkenaan penghantaran barang yang diborong dari China ke Malaysia, cara untuk mengenalpasti “Trusted Seller”, cara mengira kos penghantaran dan juga tips dan trick jika hendak membuat urusniaga dalam jangkamasa yang singkat.

Dengan adanya program ini, ia dapat memupuk minat dan membuka peluang di kalangan golongan sasar mengenai dunia keusahawanan dengan cara membantu mereka membuat belian secara pukal dengan harga yang lebih murah. Secara tidak langsung, program ini juga akan menggalakkan mereka untuk membina kerjaya sendiri/menjalankan pernigaan sendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pasaran pekerjaan di luar, terutamanya dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

Dalam program ini, tenaga pengajar merupakan pelajar FSKKP sendiri iaitu saudara Radziman Rani. Beliau dibantu oleh saudara Muhammad Harith Haiqal dan saudari Siti Hajar. Modul program disediakan oleh saudara Radziman Rani. Tentatif program seperti di Jadual 1 di bawah.

Saudara Radziman Rani merupakan pelajar BCS tahun akhir, FSKKP. Beliau merupakan pelajar usahawan berdaftar dalam bidang jual beli logam, jual beli barangan Teknologi Maklumat dan baik pulih barangan Teknologi Maklumat.

1

Banner China 101

 

1

Semasa program berlangsung

 

1

Tenaga Pengajar Program China 101

 

1

Sebahagian Peserta bersama AJK Program

 

Dari segi bajet pula, kursus ini dijalankan dengan mendapat peruntukan kewangan dari Pusat Keusahawanan iaitu sebanyak RM2320.00. Perbelanjaan ini termasuklah kos tempat kursus  bayaran pakej makan minum, modul program, sijil, promosi, honorarium untuk pengajar dan serta beberapa keperluan lain semasa program dijalankan.

Program ini telah berlangsung dengan baik, hasil kerjasama dari pelbagai pihak termasuklah ahli jawatankuasa dan juga para peserta. Semoga kejayaan program ini dapat mempromosikan FSKKP kepada warga setempat terutamanya dalam bidang keusahawanan.

 


Cetak   Emel