FAKULTI KOMPUTERAN TURUN PADANG JAYAKAN KHIDMAT KOMUNITI (CSR) DI SEKITAR PANTAI KUALA PAHANG

21 OGOS 2023 – Seramai 70 orang warga kerja Fakulti Komputeran yang terdiri daripada pengurusan, staf pentadbiran dan teknikal dan pentadbiran fakulti telah turun padang membersihkan kawasan Pantai Lagenda, Kuala Pahang yang kerap dikunjungi pengunjung.

Melihat keindahan panorama pantai setempat yang dicemari oleh sikap masyarakat yang memandang enteng kepada kesan pembuangan sampah sarap telah mencetus kesedaran pihak Fakulti Komputeran mengambil cakna dan mengorak langkah dalam memupuk pembudayaan kebersihan di pantai.

Menurut Dekan Fakulti Komputeran (FK), Profesor Madya Ts. Dr. Adzhar bin Kamaludin, FK telah menjadikan program ini sebagai KPI bagi satu pembudayaan kebersihan dan pemuliharaan perairan pantai menerusi khidmat bakti kepada masyarakat setempat khususnya di Daerah Pekan sesuai dengan keberadaan UMPSA sekaligus memberikan kesedaran pada masyarakat betapa peri pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar.

“Program CSR ini merupakan salah satu inisiatif FK bagi membantu masyarakat setempat di samping memelihara alam sekitar,” katanya yang bersama menyertai program.

Jelas beliau program yang dijalankan ini bukan sahaja mampu memupuk semangat kerjasama dan bertanggunjawab di kalangan warga FK dalam meningkatkan kesedaran dan kepentingan pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar malah sekaligus mempromosikan UMPSA kepada masyarakat setempat.

Sumber: YM Raja Allen Jordan Izzuddin Shah Raja Baharudin


Print   Email